Setiap kali menjelang Ramadan, pastinya majoriti masyarakat Islam di Malaysia akan berkumpul dan berbuka puasa bersama ahli keluarga mahupun rakan-rakan. Salah satu tempat yang sering dijadikan lokasi untuk berbuka puasa adalah di hotel dan restoran-restoran yang menawarkan pakej bufet yang menarik.
Bagi sesetengah individu, Ramadan merupakan bulan untuk merasa semua jenis bufet yang ditawarkan manakala bagi yang kurang berkemampuan, ada yang berpendapat ia adalah satu pembaziran.
Menurut sumber, dianggarkan kira-kira 4,600 tan makanan yang masih elok terbuang di seluruh Semenanjung Malaysia semasa bulan Ramadan. Statistik ini membuktikan bahawa, masalah pembaziran sudah menjadi satu kebiasaan ketika menjelangnya bulan Ramadan.
Jika dilihat pada konteks Ramadan itu sendiri, ia adalah untuk mendidik diri untuk bersederhana dalam segenap perkara dan tidak melakukan pembaziran. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 27, “sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.”
Namun, ia bukanlah satu halangan bagi sesetengah individu yang lebih memilih untuk berbuka puasa dengan pakej bufet di hotel dan restoran. Individu itu sendiri haruslah beringat untuk makan secara berpada-pada dan tidak membazir.
Agama Islam itu sendiri menganjurkan umatnya agar tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut (sumber). Anda perlu bijak membuat pilihan antara keperluan dan kehendak agar tidak berlakunya pembaziran di bulan yang mulia ini.