Doa Harian Ramadan Yang Boleh Diamalkan

Doa Harian Ramadan Yang Boleh Diamalkan

Ramadan merupakan bulan yang paling dinantikan oleh semua muslimin dan muslimat  kerana terdapat pelbagai ganjaran yang Allah SWT berikan. Salah satunya, bulan pengampunan di mana Allah membuka luas pintu keampunan kepada hambaNya dan antara amalan yang dikejar sewaktu bulan Ramadan adalah berdoa.

Doa orang yang berpuasa adalah mustajab dan tidak akan ditolak. Berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلصَّائِم عِندَ فِطْرهِ دَعْوَةً لا تُرَدُّ

Maksudnya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang pasti tidak ditolak

(Riwayat Ibn dan al-Hakim dalam al-Mustadrak)

Berikut kami kongsikan antara doa-doa harian yang anda boleh amalkan sepanjang bulan Ramadan. 

1. Doa Agar Amalan Ramadan Diterima

Doa Harian Ramadan Yang Boleh Diamalkan

اَللَّهُمَّ سَلِّمْنـِي إِلَى رَمَضَانَ وَسَلِّمْ لِـي رَمَضَانَ وَتَسَلَّمْهُ مِنِي مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, hantarkanlah aku hingga sampai Ramadan, dan hantarkanlah Ramadan kepadaku, dan terimalah amal-amalku di bulan Ramadan.

Niatkanlah dalam hati agar setiap amalan yang dilakukan di bulan Ramadan ini diterima oleh Allah.

2. Doa Dijauhkan Maksiat Dalam Bulan Ramadan

اَللَّهُمَّ لاَ تَخْذُلْنِيْ فِيْهِ لِتَعَرُّضِ مَعْصِيَتِكَ وَ لاَ تَضْرِبْنِيْ بِسِيَاطِ نَقِمَتِكَ وَ زَحْزِحْنِيْ فِيْهِ مِنْ مُوْجِبَاتِ سَخَطِكَ بِمَنِّكَ وَأَيَادِيْكَ يَا مُنْتَهَى رَغْبَةِ الرَّاغِبِيْنَ

Maksudnya: Ya Allah! Janganlah Engkau hinakan aku di bulan ini kerana perbuatan maksiatku terhadapMu, dan janganlah Engkau menghukumku dengan balasanMu. Jauhkanlah aku dari hal-hal yang dapat menyebabkan kemurkaanMu, dengan kelembutan dan ketinggian rahmatMu, Wahai pegangan terakhir orang-orang yang berkeinginan.

Walaupun disebutkan dalam hadis bahawa syaitan dibelenggu dan dirantai ketika bulan Ramadan, namun syaitan hanya diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan betul, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripada mereka.

3. Doa Agar Ditetapkan Hati Dalam Ketaatan

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berilah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.

Naik turun iman adalah lumrah bagi seorang hamba di atas muka bumi ini. Doa di atas sering diamalkan oleh orang-orang soleh sejak dahulu lagi sebagai tanda mengikuti sunnah Nabi SAW yang selalu membacanya.  

4. Doa Ketika Bersedekah

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, terimalah dari kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Syarat utama dalam bersedekah adalah keikhlasan. Setiap kali bersedekah, kita sangat digalakkan untuk membaca doa ini kerana ia dapat mengiringi amal sedekah kita agar diterima Allah SWT.

5. Doa Malam Lailatulqadar

Doa Harian Ramadan Yang Boleh Diamalkan

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Zat Yang Maha Pemaaf dan Pemurah maka maafkanlah diriku.

Doa ini adalah doa yang diucapkan sendiri oleh baginda Nabi dalam usaha memohon keampunan dari Allah. Doa ini juga merupakan salah satu ibadah sunnah yang dibaca umat Muslim untuk mendapat kebaikan di bulan Ramadhan, khususnya malam Lailatulqadar. Oleh itu sangat digalakkan untuk mengamalkan doa Lailatulqadar sepanjang bulan Ramadan ini. 

Lailatulqadar adalah malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan ia akan berlaku pada salah satu malam sahaja di dalam bulan Ramadan. Lailatulqadar adalah malam yang sangat mulia kerana para malaikat akan turun membawa rahmat Allah bagi orang-orang yang terpilih untuk bertemu dengannya.

Doa Harian Ramadan Yang Boleh Diamalkan

Sesungguhnya bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa dengan pelbagai kelebihan kurniaan Allah SWT untuk sekalian hambaNya yang beriman. Jangan lah kita lepaskan peluang untuk meyambut kedatangan bulan Ramadan ini.