Lailatulqadar merupakan satu malam yang penuh dengan keberkatan, rahmat dan ganjaran Allah SWT. Lailatulqadar merupakan malam istimewa yang dirahsiakan dari pengetahuan sesiapa bagi memastikan semua umat Islam kekal istiqomah beribadah kepada Allah SWT.
Ulama berpendapat sebaik-baik amal soleh yang dilaksanakan adalah pada malam Lailatulqadar kerana ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah dalam surah al-Qadr ayat 3:
لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬
Maksudnya: “Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.”
Antara amalan-amalan yang anda boleh lakukan untuk mendapatkan malam Lailatulqadar adalah:
1. Banyakkan berdoa, berzikir, beristighfar memohon keampunan
Lailatulqadar termasuk dalam waktu mustajab untuk berdoa. Oleh itu, setiap umat Islam dianjurkan agar bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah. Aishah RA pernah bertanya kepada baginda Rasulullah, “apakah yang perlu dikatakan pada malam Lailatulqadar?” Maka baginda menjawab, “Katakanlah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعفو عنى
Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan suka akan keampunan, maka ampunilah daku.” (H.R Imam Ahmad dan al Tirmizi).
2. Banyakkan bersedekah
Pada 10 malam terakhir bulan Ramadan, ringankan tangan untuk bersedekah setiap hari mengikut kemampuan. Sekiranya anda bersedekah, dan ia bertepatan dengan malam Lailatulqadar, maka pahala amalan sedekah itu akan dilipat gandakan lebih baik dari 1000 bulan (sumber).
3. Membaca Al-Quran
Al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain. Allah SWT berfirman:
Maksudnya “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr: 1-3).
4. Sekurang-kurangnya mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah
Ulama berpendapat bahawa sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, lalu bertepatan dengan Lailatulqadar, maka dia mendapat ganjaran qiyam pada malam tersebut kerana pada waktu tersebut sudah bermulanya waktu Lailatulqadar (sumber).
5. Qiamullail (solat malam)
Qiamulail bermaksud bangun malam iaitu bangun untuk beribadah kepada Allah SWT. Daripada Aisyah RA katanya, “Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya (bersungguh-sungguh dalam beribadah dan melakukan kebaikan)” (HR Muslim).
Terdapat beberapa jenis solat sunat yang biasanya dikerjakan dalam Qiamullail iaitu:
• Solat Tahajud
• Solat Taubat
• Solat Hajat
• Solat Tasbih
• Solat Witir
6. Beriktikaf
Iktikaf bermaksud berdiam atau tinggal di masjid dengan adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat untuk beribadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasulullah SAW menyarankan umatnya untuk beriktikaf pada malam yang ganjil di 10 malam terakhir Ramadan. Memetik hadis riwayat Aisyah RA, Rasulullah SAW bersabda:
تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya: “Carilah Lailatulqadar pada malam ganjil di sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadan.” (Riwayat al-Bukhari (2017) dan Muslim (1169)).
Rebutlah peluang dengan mempertingkatkan amalan dan melakukan amal ibadah yang lebih berkualiti di penghujung Ramadan ini. Semoga Allah mengizinkan kita semua untuk bertemu dengan malam Lailatulqadar.