Sambutan Hari Raya pastinya tidak lengkap tanpa hidangan kuih dan biskut raya. Selain juadah seperti lemang, rendang dan ketupat, kuih dan biskut raya juga mempunyai tempat yang tersendiri di hati orang ramai.
Jom kami kongsikan antara 10 kuih dan biskut raya yang tidak lapuk dek zaman sehingga ke hari ini.Â
1. Kuih Buah Rotan
Kuih Buah Rotan atau juga dikenali sebagai Kuih Redan atau Keciputan merupakan sejenis kuih tradisional Melayu yang diperbuat daripada tepung pulut dan telur. Kuih yang terkenal di negeri Terengganu ini sering dijadikan kudapan pada pagi Hari Raya. Ia dinamakan buah rotan kerana warnanya yang kuning keemasan (sumber).
2. Biskut Mama Carey
Biskut Mama Carey merupakan antara biskut raya yang sering dihidangkan ketika musim perayaan. Namun, kini ia semakin dilupakan kerana proses pembuatannya yang agak rumit dan memerlukan masa yang lama (sumber).
3. Biskut Dam
Biskut Dam ini sangat unik kerana bentuknya yang seperti papan dam. Proses pembuatan biskut ini agak rumit kerana anda perlu mencanai, melapis, mengukur, memotong dan mencantum. Penghasilan biskut Dam ini memerlukan ketelitian yang tinggi bagi menghasilkan kualiti biskut yang terbaik.Â
4. Kuih Suji
Kuih Suji atau juga dikenali sebagai Kuih Semolina adalah kuih yang lembut dan mudah cair di mulut. Bentuknya yang bulat dan sepotong ceri di atasnya menjadikan Kuih Suji digemari kanak-kanak dan juga penggemar kuih raya (sumber).
5. Batang Buruk
Kuih Batang Buruk diperbuat daripada tepung gandum yang dicampur dengan tepung beras dan dan diisi dengan serbuk kacang hijau yang digoreng. Nama kuih Batang Buruk diberi kerana tekstur dan bentuknya seperti batang buruk (sumber).
6. Agar-Agar Kering
Agar-Agar Kering diperbuat daripada agar-agar manis yang telah dikeringkan. Di negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu, pemanis mulut ini turut dikenali dengan nama Beleda Kering. Agar-Agar Kering dihasilkan dalam pelbagai warna yang menarik. Ia sangat mudah untuk disediakan, tahan lama, tidak melekit dan mempunyai rasa yang sangat sedap (sumber).
7. Kuih Makmur
Kuih Makmur merupakan sejenis kuih yang popular di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Kuih ini berbentuk bulat yang mempunyai inti kacang yang disangai dan dikisar halus. Kuih makmur disalut dengan gula yang dikisar halus sebagai penaik seri (sumber).
8. Biskut Gajus
Biskut Gajus dikenali dengan hiasan potongan gajus yang terdapat pada permukaan biskut ini. Penghasilan Biskut Gajus yang rangup dan berlemak ini adalah sangat mudah kerana perlu diterap-terap sahaja (sumber).
9. Kuih Karas
Kuih Karas atau juga dikenali sebagai Kuih Jala merupakan kuih yang diperbuat daripada tepung beras. Bentuknya yang seperti mihun kering dan teksturnya yang rapuh dan ranggup menjadi kegemaran ramai peringkat umur (sumber).
10. Kuih Loyang/Kuih Ros
Kuih Loyang atau juga dikenali sebagai Kuih Ros dan Kuih Goyang mendapat gelaran tersebut kerana selepas acuannya dicelup ke dalam adunan tepung cair, ia akan dicelup ke dalam minyak yang panas dan digoyang-goyangkan sehingga adunan tepung tertanggal daripada acuan. Nama lain bagi kuih ini ialah Kuih Sarang Lebah dan Kuih Bunga Durian (sumber).Â
Meskipun kuih dan biskut raya ini telah mengalami pelbagai inovasi dari segi resipi dan cara pembuatannya, namun ia tetap menjadi salah satu hidangan wajib di setiap rumah apabila menjelang Hari Raya.