Tips Pilih Baju Kurung Mengikut Bentuk Badan

Tips Pilih Baju Kurung Mengikut Bentuk Badan bulan bintang 2023

Pemakaian baju tradisional seperti baju kurung, kebaya dan kebarung sering menjadi perhatian para wanita untuk digayakan dalam pelbagai acara. Walaupun baju kurung dianggap sebagai baju yang paling mudah untuk digayakan tidak mengira bentuk badan, namun pemilihan fabrik, cutting dan jenis corak yang terdapat pada baju kurung harus dititikberatkan. Ini kerana pemilihan baju kurung yang tepat akan menaikkan lagi seri dan gaya si pemakai. 

Oleh itu, dengan mengetahui jenis bentuk badan yang dimiliki, ia akan membantu anda untuk memilih baju kurung yang sesuai.

1. Tinggi dan kurus

Bagi anda yang berbadan tinggi dan kurus, pemakaian baju kurung Pahang sangat sesuai kerana rekaan bajunya yang kembang di bahagian bawah.

Jika anda termasuk dalam golongan ini, anda sesuai untuk menggayakan baju kurung yang berwarna cerah seperti merah jambu, oren, kuning, biru muda dan coklat. Untuk tidak menampakkan anda terlalu tinggi, serlahkan penampilan dengan memilih baju kurung yang mempunyai corak melintang dan corak bunga besar. Ia akan memberi gambaran bahawa anda lebih berisi.

2. Gempal dan tinggi

Pemilik badan gempal dan tinggi sesuai menggayakan baju kurung yang berwarna gelap seperti hitam, hijau gelap, coklat gelap dan biru gelap kerana warna ini akan menyebabkan anda kelihatan langsing.

Elakkan memilih baju kurung yang mempunyai corak bunga yang besar dan warna yang terlalu terang kerana ia akan menyerlahkan kegempalan. Jika anda mahu memakai pakaian yang bercorak, disarankan untuk memilih baju kurung yang mempunyai corak bunga kecil.

3. Kurus dan rendah

Fabrik kain juga perlu dititikberatkan agar anda tahu jenis kain yang digunakan demi memastikan keselesaan pada pemakai selain bersesuaian dengan cuaca. Sebelum membeli, anda harus periksa dahulu fabrik yang digunakan sama ada ia cotton, polyester, silk, tetron, viscose, rayon atau lain-lain. 

Ini kerana setiap jenis fabrik mempunyai ciri-ciri tersendiri seperti tidak jarang, menyerap peluh, tahan lasak dan tidak melekap di badan.

Bagi anda yang memiliki badan bersaiz kecil dan rendah, disarankan untuk memilih corak sama baju dan kain agar kelihatan lebih tinggi. 

Serlahkan diri dengan menggayakan baju kurung yang berwarna lebih cerah dan corak bunga yang sedikit besar. Corak garis yang menegak juga sesuai untuk membantu anda kelihatan lebih tinggi.

Lengkapkan penampilan dengan memakai kasut tinggi seperti heels atau wedges untuk tampak lebih tinggi.

4. Bentuk badan buah epal

Bentuk badan jenis ini dikatakan mempunyai bahagian badan yang bulat selain mempunyai saiz pinggang yang lebih besar. Individu yang memiliki bentuk badan  jenis ini mempunyai bahagian bahu atau dada yang lebih besar dan lebar manakala bahagian paha dan kaki pula adalah kecil.

Warna yang sesuai untuk dipakai oleh pemilik bentuk badan buah epal ini adalah warna yang terang dan ceria di bahagian atas (baju) dan warna yang gelap di bahagian bawah (kain).

Bagi anda yang tidak bertudung, pilih baju kurung dengan bentuk leher V bagi menyeimbangkan tubuh. Elakkan pemilihan baju kurung yang mempunyai manik di bahagian pinggang.

5. Bentuk badan buah pear atau segi tiga

Badan yang berbentuk pear memiliki visual pinggul yang lebih besar dari saiz bahunya. Paha dan bahagian atas adalah kecil dan mempunyai pinggang yang ramping. Individu dengan badan berbentuk pear perlu memakai baju kurung yang mempunyai pelapik bahu yang akan menjadikan bahu anda kelihatan lebih luas. 

Pemilik bentuk badan ini sesuai memilih baju kurung dengan warna terang. Untuk menyeimbangkan tubuh, anda perlu memilih baju kurung yang mempunyai renda serta detailing yang banyak.

Pilih baju kurung yang bercorak sama dengan kain dan dart baju di depan. Rekaan baju kurung Pahang sesuai dengan bentuk badan buah pear.

Lengkapkan dengan aksesori di leher kerana ia dapat mengimbangi bahagian pinggul dan paha. Elakkan pemilihan baju kurung yang ketat mengikut saiz badan. 

6. Bentuk badan jam pasir

Sekiranya anda mempunyai badan berbentuk jam pasir, anda sekaligus memiliki bentuk badan yang sempurna kerana ukuran dada dan pinggul adalah hampir sama. Perbezaan di antara ukuran pinggang dengan dada dan pinggul adalah sekitar 25 sentimeter (10 inci) kecilnya.

Individu yang mempunyai bentuk badan ini boleh memilih baju kurung dari fabrik yang lembut serta beralun yang akan menyerlahkan lagi keyakinan diri. Dari segi warna, tiada warna yang spesifik kerana kebanyakan warna bersesuaian dengan anda.

7. Bentuk badan empat segi atau rectangle

Individu yang mempunyai bentuk badan empat segi ini mempunyai bentuk pinggang ramping yang ketara. Ukuran bahu dan pinggulnya adalah sama.

Pilih baju kurung dengan potongan yang jelas agar membantu membentuk lekuk di badan, seperti pakaian dengan struktur geometrik. Elakkan jenis baju kurung yang mempunyai fabrik ringan dan tipis. Disarankan untuk tidak mengenakan terlalu banyak detailing dan aksesori agar kesannya tidak terlalu serabut.

Pemilihan warna noda senada sangat sesuai untuk anda yang mempunyai badan berbentuk segi empat.

Secara ringkasnya, setiap individu memiliki bentuk badan yang berbeza-beza. Pemilihan warna, fabrik dan corak yang sesuai pada baju kurung dapat memberikan keyakinan yang lebih kepada si pemakainya.

Semoga tips yang kami kongsikan ini sedikit sebanyak dapat dijadikan rujukan untuk memilih baju kurung yang sesuai dengan bentuk badan anda.

Bulan Bintang Sisters menyediakan pelbagai jenis koleksi baju kurung dengan pelbagai jenis warna dan corak bermula dari saiz XS hingga sebesar 3XL. Jadi, anda tidak perlu risau mengenai masalah saiz baju.

Tunggu apa lagi? Klik butang di bawah untuk dapatkan koleksi baju kurung Bulan Bintang Sisters kegemaran anda.

 [Jom Dapatkan Koleksi Baju Kurung Bulan Bintang Sekarang!]