4 Persediaan Penting Sebelum Menjelang Bulan Ramadan

4 Persediaan Penting Sebelum Menjelang Bulan Ramadan

Tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum menjelang bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Di bulan ini juga Allah menjanjikan pelbagai ganjaran, keampunan dan kerahmatan yang sangat besar kepada umat Islam. 

Bersempena kedatangan bulan Ramadan ini, pastinya semua umat Islam teruja dan berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah. Jadi, apakah persediaan Ramadan anda untuk tahun ini agar ia lebih bermakna dan istimewa berbanding tahun-tahun sebelum ini? 

Kami kongsikan kepada anda 4 persediaan yang boleh dilakukan sebelum menjelang bulan Ramadan.

1. Tetapkan checklist Ramadan tahun ini

Hikmah di bulan Ramadan sangat besar kerana ia merupakan bulan yang paling ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam untuk meningkatkan ibadah dan ketaqwaan kepada Allah.

4 Persediaan Penting Sebelum Menjelang Bulan Ramadan

Sediakan checklist atau target yang ingin dicapai untuk bulan Ramadan tahun ini agar amalan yang dilakukan akan berterusan dan lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Checklist ini juga adalah supaya anda tidak terleka di bulan Ramadan untuk merebut pahala-pahala sunat.

2. Ganti puasa

Sebelum menjelangnya bulan Ramadan, ambil peluang ini untuk anda mengganti puasa yang terdahulu atas sebab uzur atau kes tertentu. Sekiranya anda lalai dan tidak mengganti puasa sehinggalah tiba bulan Ramadan yang berikutnya, maka berdosa dan wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan golongan fakir sehari secupak makanan mengikut kebiasaan penduduk setempat.

Selain itu, biasakan juga diri dengan berpuasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis. Ini merupakan salah satu langkah dalam mempersiapkan diri untuk anda membiasakan diri.

3. Solat di awal waktu dan tingkatkan kualiti ibadah

4 Persediaan Penting Sebelum Menjelang Ramadan

Sebelum tibanya bulan Ramadan, anda boleh belajar mendisiplinkan diri dengan mendirikan solat di awal waktu. Banyak ganjaran yang boleh diperoleh seperti mendapat ketenangan hati, membentuk disiplin diri, mendapat keampunan serta keredhaan Allah.

Solat di awal waktu juga merupakan sebaik-baik amalan yang sangat digalakkan oleh Nabi dan para sahabat. Nabi SAW pernah ditanya, “Amalan apakah yang paling utama?” Baginda menjawab, “Solat pada awal waktu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi No: 155)

4. Praktikkan amalan-amalan sunat

4 Persediaan Penting Sebelum Menjelang Bulan Ramadan

Walaupun amalan sunat merupakan perkara yang tidak wajib dilakukan, tetapi sekiranya diamalkan maka ganjaran pahala akan digandakan. Terdapat banyak amalan sunat yang boleh dipraktikkan sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan antaranya bersedekah, berzikir, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Secara ringkasnya, bulan Ramadan adalah bulan untuk anda mengejar amal ibadah dan merebut segala ganjaran yang dijanjikan Allah. Oleh itu, lakukan persediaan menyambut Ramadan dengan sebaiknya agar anda lebih dekat dengan maha Pencipta.

Semoga perkongsian yang kami berikan ini dapat membantu anda mempersiapkan diri untuk menyambut bulan Ramadan ini dengan sebaik mungkin.