Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Bulan Ramadan adalah bulan istimewa bagi seluruh umat Islam untuk merebut peluang serta bermuhasabah diri menjadi seorang manusia yang lebih baik. Berpuasa di bulan Ramadan merupakan rukun Islam yang ketiga dan ia bukan hanya dipraktikkan oleh agama Islam sahaja, malah turut diamalkan oleh agama lain di seluruh dunia sejak dahulu lagi. 

Konsep puasa adalah sebagai satu bentuk penyucian diri manusia, selain tanda ketakwaan kepada Tuhan. Puasa juga melatih diri untuk belajar erti bersyukur selain menjadi seorang yang lebih bersabar.

Berikut adalah 6 agama lain selain agama Islam yang turut berpuasa mengikut cara dan tradisi mereka sendiri. 

1. Agama Hindu

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Bagi penganut agama Hindu, mereka diberikan kebebasan untuk memilih hari yang mereka ingin berpuasa. Amalan berpuasa sangat dianjurkan dalam ajaran agama Hindu kerana dipercayai dapat menyucikan badan dan minda dan memperoleh rahmat Ilahi.

Penganut agama Hindu akan berpuasa pada hari tertentu seperti Purnima (hari bulan penuh), Ekadasi (hari ke-11 mengikut kalendar lunar), hari Shivaratri (hari ke-14 dalam dua minggu gelap umat Hindu), Navratri, Durga Puja  (antara September dan Oktober), dan Saraswati Puja (hari kelima bulan Magha, biasanya berlaku pada akhir Januari atau Februari).

2. Agama Konghucu

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Agama Konghucu merupakan agama yang berkembang di beberapa negara seperti Hongkong, Taiwan, Jepun, Korea dan Tiongkok. Terdapat dua makna puasa dalam agama Konghucu iaitu puasa rohani (戒 Jie) dan jasmani (齋 Zhai). Puasa rohani adalah untuk menjaga diri dari hal-hal yang tidak bermoral manakala puasa jasmani adalah untuk menahan diri dari makan daging dan ia dilakukan pada bulan Imlek (Tahun Baru Cina).

3. Agama Buddha

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Dalam agama Buddha, puasa disebut sebagai Uposatha. Tarikh puasa bergantung kepada kepercayaan Buddha yang mereka amalkan. Ada yang berpuasa selepas makan tengah hari, ada yang berpuasa selama 3 atau 6 hari. Terdapat juga sesetengah penganut Buddha yang berpuasa dalam tempoh yang lama iaitu selama setengah bulan pada setiap bulan pertama, kelima dan kesembilan.

Ketika berpuasa, agama Buddha dibolehkan untuk minum tetapi tidak boleh makan. Mereka dilarang untuk makan pada waktu tengah hari sehingga fajar iaitu lebih kurang pukul 3 hingga 5 pagi. 

Mereka percaya bahawa amalan berpuasa merupakan salah satu cara untuk mengawal nafsu. Mereka dilarang untuk berbohong, menonton hiburan, memakai produk kosmetik, wangian, perhiasan dan melakukan kegiatan seksual.

4. Agama Kristian

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Agama Kristian percaya bahawa puasa merupakan salah satu cara terbaik agar penganutnya mendekatkan diri dengan Tuhan. Berpuasa juga adalah untuk mengurangkan pengambilan makanan dalam satu hidangan yang besar. Salah satu amalan puasa paling terkenal dalam kalangan penganut Kristian adalah puasa 40 hari sempena musim Lent (sebelum hari Easter).

Amalan puasa sempena musim Lent mempunyai banyak kelonggaran. Mereka boleh memilih untuk berpuasa ‘penuh’ atau ‘separuh’. Berpuasa penuh bermaksud mereka perlu mengelakkan diri daripada memakan daging untuk sehari. Berpuasa separuh bermaksud mereka boleh makan dan minum tetapi mereka hanya perlu mengelakkan diri daripada makan daging sahaja. Manakala bagi sesetengah penganut agama Kristian, berpuasa bermaksud tidak makan apa-apa kecuali minum air.

5. Agama Yahudi

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Dalam agama Yahudi, nama lain bagi puasa ialah Ta’anit. Ta’anit terbahagi kepada dua iaitu pada hari ‘besar’ (Yom Kippur dan Tisha B’Av) dan pada hari ‘kecil’ (puasa Esther dan puasa Gedhalia). Penganut agama Yahudi percaya waktu terbaik untuk berpuasa adalah pada Hari Penebusan Dosa atau The Day of Atonement atau juga dikenali sebagai Yom Kippur. Ia merupakan sambutan keagamaan yang paling besar bagi penganut Yahudi. 

Ketika sedang berpuasa, penganut Yahudi tidak dibenarkan untuk makan dan minum, melakukan hubungan seks, dan memakai kasut kulit manakala khusus untuk hari Yom Kippur, mereka tidak dibenarkan untuk menggosok gigi. Sesetengah penganut Yahudi juga dilihat turut amalkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.

6. Agama Sikh

Agama Lain Yang Turut Berpuasa Selain Islam

Penganut agama Sikh percaya bahawa amalan berpuasa tidak membawa apa-apa kebaikan. Menurut mereka, apabila seseorang itu berpuasa mereka hanya menyeksa diri sendiri. Oleh itu, mereka hanya akan berpuasa apabila perlu sahaja atau sekiranya mempunyai masalah kesihatan. 

Semoga perkongsian kami kali ini memberikan ilmu baru buat anda.

Sumber:

1. Daily Rakyat

2. Iluminasi

3. Fasting In Hinduism

4. The Times Of India

5. The Indian Express

6. Interpreting Buddhist Precepts with Confucian Rites

7. Encyclopedia of Sikhism