Keberkatan Bangun Sahur

Keberkatan Bangun Sahur

Pasti ada segelintir daripada anda yang malas untuk bangun bersahur kerana perlu menyediakan makanan di awal pagi. Menurut Al-Imam al-Nawawi, bersahur itu sunat dan digalakkan, dan ia tidak wajib, namun pada zahirnya, terdapat keberkatan dalam sahur itu. Antara sebab-sebab kenapa disunatkan untuk bersahur adalah:

1. Sahur adalah sunnah Nabi SAW

Rasulullah sangat menggalakkan umat Islam untuk bersahur. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah SAW bersabda:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: “Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (HR al-Bukhari).

Keberkatan Bangun Sahur

Bahkan, sahur yang paling afdal adalah dengan air dan tamar sahaja. Memetik hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

نِعْمَ سَحُورُ المُؤمِنِ التَّمْرُ

Maksudnya: “Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar.” (Riwayat Abu Dawud (2345)).

Menurut sumber, Rasulullah SAW bersahur di awal pagi iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Keberkatan bersahur terbahagi kepada dua jenis iaitu:

● Keberkatan Syar’iyyah iaitu keberkatan dalam mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW. Ini termasuk amalan berdoa dan beristighfar kerana waktu sahur adalah waktu mustajab berdoa.

● Keberkatan Badaniyah iaitu keberkatan pada sahur yang memberikan bekalan nutrien dan tenaga kepada badan selain menahan diri daripada melakukan perbuatan yang tidak baik disebabkan oleh lapar.

2. Membezakan puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani

Menurut sumber, ibadah puasa yang diwajibkan oleh umat Islam juga turut dilakukan oleh masyarakat Yahudi dan Nasrani. Namun, terdapat perbezaan iaitu umat Islam akan segerakan waktu berbuka manakala masyarakat Yahudi dan Nasrani akan melambat-lambatkannya.

Daripada Amru bin al-‘As r.a.,Rasulullah SAW bersabda: “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim).

3. Menambahkan pahala berpuasa dengan amalan sunat

Keberkatan Bangun Sahur

Definisi sahur adalah makan dan minum pada awal pagi sebelum fajar dengan niat untuk berpuasa. Terdapat 5 amalan sunat yang anda boleh amalkan ketika bersahur iaitu melewatkan sahur, memperbanyakkan doa, menunaikan solat malam, memohon keampunan,membaca Al-Quran dan melazimi zikir.

Ini kerana waktu akhir malam, sebelum fajar adalah waktu yang tepat untuk beristighfar dan meminta keampunan-Nya. Maka jika anda bangun pada waktu ini, ia memberikan peluang dan ruang kepada anda untuk berdoa dan memohon hajat kepada Allah. Bersahur juga mampu mendidik diri untuk mendirikan solat tahajud pada dua pertiga malam.

وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya: “Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun).”

Semoga dengan perkongsian ini dapat membuka mata anda tentang kelebihan, ganjaran dan keberkatan sekiranya anda bersahur.