Pemberian duit raya setiap kali menjelang lebaran sudah sinonim dengan masyarakat Islam di Malaysia. Tetapi persoalannya, adakah pemberian duit raya ini suatu adat, hadiah atau sedekah?
Sebenarnya, konsep memberi duit raya diambil dari budaya masyarakat Cina yang memberi ‘ang pow’ semasa Tahun Baru Cina. Bagi masyarakat Cina, seseorang itu layak untuk menerima ang pow selagi dia masih belum berkahwin manakala bagi masyarakat Melayu, duit raya diberikan kepada kanak-kanak, ibu bapa, sanak saudara dan remaja yang masih belum bekerja (sumber).
Pemberian duit raya di pagi Aidilfitri ini telah menjadi adat yang diwarisi secara turun temurun. Menurut Islam, pemberian duit raya ini diibaratkan seperti sedekah dan ia menghasilkan tiga bentuk pahala iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada ibu bapa), pahala mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah. Walau bagaimanapun, pemberian duit raya bukanlah secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar (sumber).
Pemberian duit raya juga sangat digalakkan kerana amalan ini mampu menggembirakan hati seseorang. Memetik hadis riwayat At-Thabrani, “Manusia yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat untuk manusia. Dan amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah kegembiraan yang engkau masukkan ke dalam hati seorang mukmin.”
Ada juga yang berpendapat bahawa pemberian duit raya adalah sebagai satu bentuk hadiah kepada kanak-kanak kerana telah berjaya berpuasa penuh sepanjang 30 hari Ramadan. Bagi golongan dewasa, ia adalah hadiah sebagai tanda ingatan kepada mereka dan juga sebagai salah satu cara untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
Secara ringkasnya, pemberian duit raya bergantung kepada niat dan keikhlasan seseorang itu memberi duit raya sama ada untuk mengekalkan adat, sebagai hadiah atau untuk bersedekah. Yang paling penting, pemberian duit raya perlulah mengikut kemampuan masing-masing dalam menggembirakan ahli keluarga dan saudara mara.