Raya Dulu VS Raya Sekarang

Raya Dulu VS Raya Sekarang

Seiring peredaran zaman, kemeriahan sambutan Aidilfitri di seluruh negara telah mengalami banyak perubahan. Jika dilihat secara terperinci, banyak tradisi sambutan Hari Raya zaman dahulu telah dimodenkan. Dalam artikel kali ini, kami akan mengimbau kembali cara negara Malaysia menyambut Hari Raya pada zaman dahulu.

1. Kad Raya

Kad raya merupakan medium popular untuk menyampaikan ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kepada sahabat dan saudara mara yang jauh pada suatu ketika dahulu. Kad raya ini menjadi tarikan pengguna kerana corak dan warnanya yang menarik bahkan terdapat juga jenis kad raya yang mempunyai muzik dan lampu. Ia boleh didapati di merata tempat pada bulan Ramadan dan menjadi pilihan segenap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda. 

Namun, dengan arus teknologi yang semakin canggih, kad raya semakin dilupakan kerana ucapan raya hanya diucapkan melalui media sosial ataupun text di WhatsApp mahupun video call.

2. Gambar Raya

Hari Raya tidak akan lengkap sekiranya tiada sesi bergambar atau ootd  (outfit of the day) untuk dijadikan kenangan. Pada masa dahulu, sesi bergambar antara keluarga secara beramai-ramai agak sukar kerana ahli keluarga tidak mempunyai kamera dan kualiti kamera pada zaman dahulu menggunakan resolusi rendah (1 megapixel). 

Kini, tiada lagi alasan untuk mengambil gambar keluarga di pagi Aidilfitri memandangkan hampir semua ahli keluarga mempunyai kamera smartphone yang canggih dan berkualiti. Selain itu, dengan teknologi terkini, semua gambar-gambar  yang diambil boleh terus dikongsi dengan ahli keluarga yang lain dan boleh dimuat naik di media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

3. Pemberian Duit Raya

Amalan pemberian duit raya merupakan salah satu tradisi yang paling dinantikan kanak-kanak. Pada zaman dahulu, nilai duit raya sebanyak RM1 atau RM5 sudah terasa besar namun kini RM1 adalah sangat kecil nilainya.

Bukan itu sahaja, pemberian duit raya pada masa kini juga boleh dilakukan melalui transaksi dalam talian seperti melalui QRPay, Boost, TNG eWallet dan sebagainya. Jadi, tiada lagi alasan untuk tidak memberi duit raya walaupun saudara mara anda berada jauh di perantauan.

4. Pengumuman Hari Raya

Pengumuman raya adalah momen yang paling dinantikan di mana sanak saudara akan berkumpul beramai-ramai di depan televisyen untuk sama-sama menanti tarikh hari Raya. Kini, satu negara boleh mendapatkan info tentang tarikh hari raya mahupun puasa melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Facebook dan TikTok.

5. Pelita buluh/panjut

Tradisi memasang pelita menggunakan minyak tanah juga sudah jarang dipraktikan oleh masyarakat zaman sekarang kerana sudah terdapat lampu elektronik dan solar berwarna-warni yang lebih mudah untuk dipasang. 

Secara ringkasnya, tidak kira berapa banyak perbezaan antara raya dulu dan raya sekarang, anda perlu menghayati erti Hari Raya Aidilfitri yang sebenar iaitu hari kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan.