Amalan Untuk Wanita Haid Di Bulan Ramadan

Amalan Untuk Wanita Haid Di Bulan Ramadan

Rasulullah SAW pernah menenangkan Aisyah RA sewaktu beliau menangis kerana kedatangan haid dan tidak dapat mengerjakan ibadah haji wida’. Rasulullah SAW berkata:

“Sesungguhnya perkara ini (haid) adalah ketentuan ALLAH SWT ke atas wanita.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ingat, jangan berasa rugi mahupun sedih kerana ia bukan penghalang untuk para wanita tidak dapat melakukan amal ibadah. Begitu juga dengan wanita yang sedang haid atau dalam keadaan nifas di bulan Ramadan.

Dalam artikel kali ini kami akan kongsikan 5 amalan yang boleh dilakukan dan dipraktikkan oleh wanita ketika sedang haid atau nifas.

1. Banyakkan zikir dan berdoa

Amalan Untuk Wanita Haid Di Bulan Ramadan

Walaupun wanita yang sedang haid tidak dibenarkan untuk membaca Al-Quran, terdapat banyak jenis zikir, selawat dan doa yang boleh diamalkan. Contohnya, selawat ke atas Rasulullah SAW bukan sahaja boleh dipraktikkan sebagai tanda cinta kita pada baginda malahan akan mendapat syafaat di akhirat kelak. 

2. Memberi makan orang berpuasa 

Amalan lain yang boleh diamalkan bagi para wanita yang tidak boleh berpuasa adalah memberi makan atau menyiapkan hidangan kepada orang yang berpuasa terutamanya bagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.

Dari Zaid bin Khalid Al Juhani berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

“Barangsiapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia mendapatkan seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa sedikit pun.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

3. Banyakkan sedekah

Amalan Untuk Wanita Haid Di Bulan Ramadan

Allah SWT menjanjikan pahala yang berlipat ganda bagi orang yang bersedekah khususnya di bulan Ramadan. Imam Muslim meriwayatkan dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud:

“Setiap amalan manusia akan diberikan ganjaran kebaikan semisalnya sehingga 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, kerana puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’” (Hadis Riwayat Muslim)

4. Membaca/mendengar bahan bacaan agama

Amalan Untuk Wanita Haid Di Bulan Ramadan

Banyak aplikasi yang menyediakan ilmu atau info berkenaan dengan agama sama ada dalam bentuk bacaan mahupun audio seperti podcast di spotify. Bukan itu sahaja, menurut Jumhur ulama`, dibolehkan bagi seseorang yang berhadas besar untuk menyentuh, membawa dan mengulang kaji tafsir Al-Quran yang mana di dalamnya terdapat ayat-ayat Al-Quran. Ini kerana yang dimaksudkan tafsir itu adalah makna-makna dari Al-Quran dan bukan membacanya.

5. Membaca Al-Mathurat

Membaca Al-Mathurat merupakan amalan baginda Rasulullah SAW. Al-Mathurat merupakan himpunan wirid dan doa harian. 

Dalam Al-Quran, ada disebutkan tentang galakan membaca Al-Mathurat ini.

“Dan sebutkanlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan dengan tidak pula menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.” – (Surah Al-Araf, ayat 205)

Sesungguhnya Islam itu mudah dan memudahkan. Semoga perkongsian ini dapat membantu para wanita yang sedang haid untuk kekal istiqamah dalam beribadah di bulan Ramadan.