Menghayati Peristiwa Agung Nuzul Al-Quran

Menghayati Peristiwa Agung Nuzul Al-Quran

Salah satu peristiwa agung dalam sejarah umat Islam adalah turunnya ayat Al-Quran yang pertama kepada Nabi Allah yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW. ‘Nuzul’ bermaksud turun, manakala ‘Al-Quran’ bermaksud sebuah kitab suci Allah, mukjizat yang paling agung dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Lima ayat pertama yang diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril adalah daripada surah Al-’Alaq.

Menghayati Peristiwa Agung Nuzul Al-Quran

Peristiwa ini berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos 610M, tahun ke-41 keputeraan baginda Nabi SAW, ketika sedang beribadah di Gua Hira’ (sumber). Sejak daripada peristiwa bersejarah ini, Al-Quran diturunkan secara berperingkat selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya 30 juzuk dengan 6236 ayat dan 114 surah pada 10 Hijrah (sumber).

Al-Quran adalah kitab yang memiliki banyak rahsia dan manfaat yang terkandung di dalamnya iaitu:

1. Al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman

2. Al-Quran sebagai nasihat yang berguna dan penawar yang mujarab kepada penyakit hati

3. Al-Quran sebagai peneguh iman dan berita gembira buat kaum Muslimin

4. Al-Quran sebagai peringatan dan amaran daripada Allah SWT

5. Al-Quran sebagai cahaya dan penerang

6. Al-Quran membawa iktibar kepada nasib umat terdahulu dan pengesahan kandungan kitab terdahulu

Dengan melazimi dan membaca Al-Quran, umat Islam bukan sahaja akan beroleh kedudukan yang mulia di sisi Allah, bahkan ia akan menjadi syafaat kepada pembacanya di akhirat nanti. Dalam khutbah terakhir Rasulullah dalam haji wida’, baginda berpesan:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (Sunnah Nabi SAW).” (Riwayat Malik; 1594).

Menghayati Peristiwa Agung Nuzul Al-Quran

Jadi sempena sambutan Nuzul Al-Quran tahun ini pada 8 April 2023, mari sama-sama kita membaca dan menghayati kitab suci ini kerana sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun tanpa memahaminya, mereka tetap akan dikurniakan pahala membacanya.

Sabda Nabi SAW: “Seorang yang lancar membaca Al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa taat kepada Allah, adapun, yang membaca Al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.” (Riwayat Muslim).