Beza Baju Tradisional Melayu Mengikut Negeri Dan Yang Terkini

baju tradisional melayu

Baju tradisional Melayu terdiri daripada baju kurung bagi wanita dan baju melayu bagi yang lelaki. Kini, terdapat pelbagai jenis baju tradisional yang boleh dijumpai di kedai pakaian.

Baju tradisional Melayu juga berbeza-beza daripada segi bentuk dan corak mengikut negeri. Bukan itu sahaja, terdapat juga rekaan baju yang moden dan selaras dengan peredaran masa.

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan kepada anda tentang baju tradisional Melayu mengikut negeri serta perbezaannya dengan baju moden.

Teruskan membaca untuk mengetahui maklumat dengan lebih lanjut!

 

Baju Tradisional Melayu Mengikut Negeri

Pada bahagian ini, kami akan kongsikan beberapa details penting mengenai baju tradisional Melayu mengikut negeri. Antara negeri-negeri tersebut ialah: 

  •  Senarai Baju Tradisional Lelaki Melayu Mengikut Negeri

    1. Johor

Baju tradisional Melayu bagi negeri johor dikenali sebagai Baju Melayu Teluk Belanga.

Secara lazimnya, baju ini akan dipakai bersama songkok serta samping. Ukuran Baju Melayu Teluk Belanga ini labuh hingga ke paras punggung dan tiga kocek.

Bagi pemakaian samping pula, ia dipakai di bahagian dalam baju. Pemakaiannya tidak sama seperti pemakaian samping di bahagian luar baju yang biasa dilihat pada baju melayu lain.

Ini kerana pemakaian samping pada waktu terdahulu bertujuan untuk menjaga aurat seorang lelaki.

Oleh itu, baju dan samping ini lebih labuh jika dibanding dengan baju tradisional negeri lain.

Baju Melayu Teluk Belanga ini juga biasanya dipadankan dengan songkok tinggi. Songkok ini diperbuat daripada fabrik baldu yang berwarna hitam.

    1. Kedah

Baju tradisional Melayu bagi negeri Kedah dikenali sebagai Baju Melayu Cekak Musang.

Bagi lelaki, baju ini terdiri daripada Baju Melayu Cekak Musang, setanjak, pending, bengkung, dan samping.

Baju ini biasanya diperbuat daripada kain songket, mempunyai lima butang, dan bersamping songkek. Kadangkala, ia juga dipadankan dengan Baju Sikap pada bahagian luar.

Baju ini juga dipadankan dengan setanjak yang diperbuat daripada kain songket yang sama.

    1. Kelantan

Baju tradisional Melayu bagi negeri Kelantan juga dikenali sebagai Baju Melayu/Kurung Cekak Musang.

Bagi lelaki, baju melayu ini terdiri daripada Baju Melayu Cekak Musang, setanjak, samping, dan baju Sikap.

Baju melayu tradisional Kelantan ini merupakan Baju Putera Raja yang mempunyai baju Sikap yang diperbuat daripada fabrik songket.

Baju ini juga dipadankan dengan samping limar atau songket ikatan pancung serta tanjak Ikatan Garam Sebuku atau Getam Budu.

    1. Melaka

Baju melayu tradisional Melaka mempunyai tiga kocek serta labuh hingga ke paras punggung. Samping pula dipakai pada bahagian luar baju dan dipadankan dengan destar di kepala.

Paras samping ini mempunyai simbolnya yang tersendiri. Bagi lelaki yang berkahwin, mereka perlu memakai samping labuh dibawah paras lutut.

Manakala, lelaki yang bujang pula perlu memastikan samping di atas paras lutut.

    1. Negeri Sembilan

Baju tradisional Negeri Sembilan lelaki terdiri daripada Baju Melayu Cekak Musang, setanjak serta Samping. Baju ini dihiasi dengan sulaman emas di bahagian leher dan lengan.

Seluar baju ini juga dipotong lebar dan dipadankan dengan samping fabrik tenun dan setanjak ikatan Dendam Tak Sudah.

    1. Pahang

Baju tradisional Pahang lelaki terdiri daripada Baju Melayu Cekak Musang, setanjak, dan samping.

Baju Melayu Cekak Musang Pahang ini biasanya mempunyai lima butang dan diperbuat daripada kain songket bunga tabur.

Ia dipadankan dengan samping ikatan negeri Pahang yang diperbuat daripada songket tenun Pahang dan tanjak jenis Ikatan Lang Menyongsong Angin atau Sekelongsong Bunga.

    1. Perak

Pakaian tradisional Perak bagi lelaki terdiri daripada Baju Melayu Cekak Musang, setanjak, samping, pending serta bengkung.

Baju Melayu Cekak Musang Perak ini biasanya diperbuat daripada fabrik songket, mempunyai lima butang, berbengkung, dan dipadankan dengan samping ikatan gaya Perak iaitu Ikat Pancung.

Baju ini juga dilengkapi dengan tengkolok solek Ayam Patah Kepak.

 

  •  Senarai Baju Tradisional Lelaki Melayu Mengikut Negeri

    1. Johor

Bagi wanita, baju ini terdiri daripada Baju Kurung Teluk Belanga, cucuk sanggul, kain Dagang Luar dan Sibai. Baju ini sangat selesa dan longgar kerana ia labuh dan panjang.

Ia kebiasaannya akan dipadankan dengan kain sarung ikatan Ombak Mengalun, atau juga dikenali sebagai ikatan berombak.

Aksesori utama bagi wanita yang memakai baju ini adalah cucuk sanggul yang juga digunakan sebagai senjata bagi mempertahankan diri pada zaman dahulu.

Bagi kain Dagang Luar pula, ia dipegang di paras pinggang dan dijadikan kain kelubung menutup kepala apabila si pemakai berada di khalayak ramai.

    1. Kedah

Bagi wanita, baju ini terdiri daripada Baju Kurung Cekak Musang, cucuk sanggul, kain songket, serta selendang.

Baju Kurung Cekak Musang ini diperbuat daripada kain songket bunga tabur. Manakala, kainnya pula diperbuat daripada songket yang mempunyai jalur berwarna kuning dan hijau.

Ia juga biasanya dipadankan dengan kain selendang songket yang diperbuat daripada motif bunga tabur yang sama.

Bagi perhiasan, baju ini dilengkapi dengan cucuk sanggul, bunga-bunga kecil, rantai leher, dan gelang tangan bagi menampakkan lebih manis.

    1. Melaka

Baju tradisional Melaka bagi wanita terdiri daripada Baju Kurung Teluk Belanga, sanggul lintang dan lapik dada.

Baju Kurung Teluk Belanga ini mempunyai potongan yang labuh dan longgar serta dipadankan dengan kain ikatan Ombak Mengalun yang diperbuat dari sutera, batik atau songket.

Sanggul lintang pula merupakan perhiasan kepala dan dinamakan sedemikian kerana bentuknya yang melintang di atas kepala.

Pada bahagian dada pula terdapat lapik dada atau sibar layang yang diperbuat daripada fabrik baldu dan dihiasi dengan manik dan labuci.

    1. Negeri Sembilan

Baju tradisional Negeri Sembilan wanita terdiri daripada Baju Kurung Teluk Belanga, sunting Negeri Sembilan serta lapik dada.

Baju Kurung Teluk Belanga ini dipadankan dengan kain sarung yang diperbuat daripada fabrik songket tenun bunga penuh yang berasal dari Pantai Sikek atau Batu Bara di Sumatera.

Bagi wanita bangsawan yang berketurunan Minangkabau, baju kurungnya diperbuat daripada fabrik baldu bersulam benang emas dan mempunyai labuci.

Sebagai hiasan, sunting Negeri Sembilan dipakai di kepala serta dilengkapi dengan lapik dada yang diperbuat daripada fabrik baldu yang dihiasi dengan manik dan labuci.

    1. Pahang

Baju tradisional Pahang wanita terdiri daripada Baju Kurung Riau Pahang, cucuk sanggul dan selendang.

Baju Kurung Riau Pahang, atau juga dikenali sebagai Baju Belah/Baju Kebaya Turki mempunyai pesak bunga yang kembang dan disambung dengan kekek gantung.

Ia juga dilengkapki dengan selendang panjang yang diperbuat daripada fabrik songket tenun.

    1. Perak

Pakaian tradisional Perak bagi wanita terdiri daripada baju puteri berseluar Aceh, selendang, cucuk Sanggul Goyang & Jurai, pemanis dahi, dan pending.

Baju ini juga dikenali sebagai Pakaian Puteri Perak kerana ia merupakan pakaian rasmi puteri-puteri kesultanan Perak pada zaman dahulu.

Ia dilengkapi dengan samping ikatan gaya Perak serta dihiasi dengan selendang panjang yang diperbuat daripada kain songket bunga penuh.

 

Perbezaan Baju Tradisional & Moden

  • Beza kurung tradisional & moden

baju melayu tradisional wanita

  • Jenis kain dan fabrik

Kurung moden kini diperbuat daripada pelbagai jenis kain dan fabrik bagi tujuan keselesaan dan fesyen.

Contoh fabrik yang digunakan adalah seperti kapas, kain sulam, lace, sutera, linen, satin, organza, chiffon, batik, dan lain-lain lagi.

  • Pesak 

Pesak merupakan jahitan yang terletak di bahagian sisi baju kurung tradisional atas tujuan kelonggaran dan keselesaan si pemakai.

Berbanding dengan baju kurung tradisional, baju kurung moden biasanya tidak mempunyai pesak.

  • Aksesori dan perhiasan

Berbanding kurung tradisional yang lebih ringkas, kurung moden mempunyai lebih banyak aksesori dan perhiasan seperti manik, labuci, sulaman, kerawang, dan sebagainya.

  • Zip baju

Disebabkan kurung moden tidak mempunyai pesak, maka baju tersebut memerlukan “fungsi” lain agar pemakaiannya jadi mudah.

Oleh itu, kurung moden mempunyai zip bagi menyenangkan pemakaian baju tersebut.

Zip baju kurung moden ini terdapat di bahagian sisi, bahagian hadapan atau belakang baju.

  • Potongan mengikut badan

Berbanding baju kurung tradisional, baju kurung moden mempunyai potongan yang mengikut badan pada bahagian pinggang bagi menampakkan elegance.

 

  • Beza baju Melayu tradisional & moden

baju melayu tradisional lelaki

Baju Melayu boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu baju Melayu klasik, baju Melayu tradisional, dan baju Melayu moden.

 

  • Baju Melayu Klasik

Salah satu contoh baju melayu klasik adalah seperti Baju Melayu Teluk Belanga.

Baju Melayu klasik juga sering dipadankan dengan elemen-elemen seperti:

  • Tengkolok atau semutar kapas yang dililit di bahagian kepala.
  • Baju berlengan 3 suku bagi memudahkan kerja-kerja harian.
  • Sampin kain kapas yang lebih sejuk dan mudah dipakai.
  • Kain pelikat atau seluar atas paras buku lali bagi mengelakkan kekotoran ketika melakukan kerja-kerja harian. 

 

  • Baju Melayu Tradisional

Baju Melayu tradisional merupakan baju Melayu yang muncul pada awal 1900-an yang mendapat inspirasi daripada golongan bangsawan pada ketika itu.

Baju Melayu tradisional sering dipadankan dengan elemen-elemen berikut:

  • Songkok yang diperbuat dari kain baldu hitam.
  • 1 butang baju melambangkan Tuhan yang Esa.
  • 5 butang baju melambangkan 5 rukun Islam.
  • 6 panel pesak melambangkan rukun iman.
  • 3 poket melambangkan Islam, Iman, dan Ihsan.

 

  • Baju Melayu Moden

Baju Melayu moden dibuat bagi menyesuaikan pakaian ini dengan peredaran masa.

Baju Melayu Moden sering dipadankan dengan elemen-elemen berikut:

  • Baju diperbuat daripada jenis kain yang lebih selesa, sejuk dan mudah digosok berbanding kain kapas baju melayu tradisional
  • Mempunyai pelbagai jenis cutting seperti slim-fit, tailored-fit, dan lain-lain

 

Kesimpulannya, terdapat pelbagai jenis baju tradisional Melayu mengikut negeri, serta bezanya dengan baju moden yang terdapat di kedai pakaian di Malaysia.

Jika anda sedang mencari baju melayu dan baju kurung yang berkualiti tinggi dan berpatutan, anda boleh layari laman web Bulan Bintang HQ!

baju tradisional melayu

Di Bulan Bintang HQ, anda mempunyai pilihan untuk memilih jenis cutting dan koleksi baju Melayu dan baju kurung. Kesemua koleksi ini pasti akan membuat anda jadi rambang mata!

Selain daripada memilih jenis cutting dan koleksi, kami di Bulan Bintang HQ amat mementingkan kualiti dan keselesaan si pemakai.

Dengan hasil pakaian yang berkualiti tinggi, anda tidak perlu runsing kepala memikirkan masalah warna luntur, jahitan tidak kemas, dan sebagainya.

Buat anda yang ingin membeli baju Melayu atau baju kurung di Bulan Bintang, anda boleh kunjungi di cawangan kedai fizikal kami iaitu: 

  • Bangi 
  • Shah Alam
  • Ukay Boulevard 
  • Johor Bharu
  • Kubang Kerian

Tapi, jika anda ingin membuat pembelian baju Melayu atau baju kurung secara online, anda boleh lawati laman web kami dengan menekan pautan di bawah ini.

DAPATKAN BAJU MELAYU DAN BAJU KURUNG BULAN BINTANG SEKARANG!